PRESMA buat laporan polis terhadap artikel 'kartel mamak'
Fareez Azman
Mei 26, 2022 12:28 MYT
Mei 26, 2022 12:28 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) membuat laporan polis berhubung artikel diterbitkan Kosmo! Online bertajuk 'Ramai jadi mangsa kartel mamak' pada 24 Mei lalu.
Menurut Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, tindakan itu dibuat agar pihak berkuasa menyiasat penerbitan artikel berkenaan yang didakwa berunsur fitnah.
"Saya selaku Presiden PRESMA mendapati artikel tersebut mengandungi pernyataan-pernyataan berunsur fitnah terhadap pemilik-pemilik restoran mamak di Malaysia dan juga mengandungi elemen-elemen hasutan terhadap bukan sahaja pemilik-pemilik restoran mamak, tetapi juga terhadap kaum India-Muslim di Malaysia
"Pemilik-pemilik restoran mamak dan atau kaum India Muslim telah digelar sebagai kartel dikatakan berlagak ala samseng dan juga dikatakan menindas peniaga-peniaga baharu, dalam artikel tersebut," jelasnya.
Tambah Jawahar, dakwaan tersebut dan perkataan yang digunakan sama sekali tidak profesional dan dakwanya mengandungi unsur hasutan.
Justeru itu, ujarnya lagi laporan polis dibuat pada Rabu di Balai Polis Wangsa Maju kira-kira jam 10.23 pagi bagi meminta agar siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa.
"Saya membuat laporan polis ini supaya akhbar Kosmo! dan wartawan tersebut disiasat dibawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.
Dalam artikel yang disiarkan pada Selasa bertajuk 'Ramai jadi mangsa kartel mamak' antara lain menyentuh mengenai keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) serta corak perniagaan berbentuk kartel didakwa dimainkan segelintir pemilik restoran mamak di negara ini.