Presiden UAE meninggal dunia: Agong titah bendera Pahang dikibar separuh tiang selama lima hari

Mohd Zalani Md Atan
Mei 13, 2022 04:30 MYT
Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei. - Gambar/ Facebook Istana Negara
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar bendera negeri Pahang dikibarkan separuh tiang selama lima hari berturut-turut bermula hari ini, di semua premis kerajaan negeri dan Persekutuan di negeri ini.
Ia sebagai tanda berkabung atas pemergian Allahyarham Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan, yang meninggal dunia semalam.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak, dalam kenyataan lewat malam tadi berkata, semua masjid di Pahang juga diminta mengadakan bacaan surah Yasin selepas solat maghrib selama tiga hari.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, baginda menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Sheikh Khalifa.
Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Sheikh Khalifa sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu itu.
Baginda mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
BACA: Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan meninggal dunia
Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada 1978 serta 1979 dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.
Atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat ke Abu Dhabi esok untuk bersama-sama ketua negara dan kerajaan lain memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.
Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei.
#presiden UAE #Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan #Yang di-Pertuan Agong #bendera pahang dikibar separuh tiang
;