Presiden Timor-Leste Ramos-Horta melawat Malaysia
Afiezy Azaman
Disember 12, 2022 10:40 MYT
Disember 12, 2022 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta tiba di Malaysia pagi ini untuk mengadakan lawatan khas dan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengucapkan tahniah secara peribadi.
Lawatan itu juga bertujuan menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste, serta meneroka ruang kerjasama baharu.
Menurut satu kenyataan Wisma Putra, Ramos-Horta juga dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa lawatan ini.
“Malaysia dan Timor-Leste mengekalkan hubungan yang erat dan mesra sejak sebelum kemerdekaan Timor-Leste pada 2002.
"Ini terbukti apabila Malaysia merupakan negara pertama menubuhkan Pejabat Perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan negara pertama dalam kalangan negara-negara ASEAN menubuhkan Kedutaan Besar di Dili pada 19 Mei 2002.
“Malaysia secara aktif sentiasa menyokong Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi terutamanya dalam menyediakan kursus latihan pembinaan kapasiti untuk pegawai Timor-Leste melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” kata kenyataan itu.
Pada 2021, Malaysia merupakan rakan dagangan ke-8 terbesar Timor-Leste, destinasi eksport ke-13 serta sumber import ketujuh.
“Dari Januari hingga Oktober 2022, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste direkodkan pada AS$84.6 juta (RM372.24 juta) dengan nilai eksport berjumlah AS$62.8 juta (RM276.32) dan nilai import berjumlah AS$21.8 juta (RM95.92 juta),” tambah Wisma Putra.