Presiden Perkasa kunjungi remaja lelaki buat laporan polis terhadap Lim Guan Eng
Astro Awani
Januari 17, 2017 10:36 MYT
Januari 17, 2017 10:36 MYT
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pada Isnin, membuat kunjungan terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang telah membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Ahmad Ali Abdul Karim membuat laporan polis berhubung kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang dimuat naik ke laman blognya dua bulan lalu.
Laporan polis itu dibuat oleh remaja berkenaan di Ibu pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 24 November tahun lalu setelah membaca artikel di laman blog Guan Eng yang dilihat mengeluarkan pernyataan mengelirukan terhadap RUU355 itu.
Remaja itu mendakwa, Guan Eng telah mengeluarkan empat dakwaan berbaur hasutan membabitkan rang undang-undang tersebut dalam artikel yang ditulisnya.
Ibrahim berkata, Perkasa akan membantu remaja tersebut dalam menghadapi isu berkaitan laporan polis terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
"Kunjungan ini adalah utk memberi semangat dan perangsang kepada adik Ahmad Ali Abdul Karim di atas tindakan beraninya membuat laporan Polis.
"Saya juga berharap tindakan berani adik Ahmad Ali ini menjadi peransang kepada seluruh umat untuk berani mempertahankan kemulian dan kesucian Islam dan memperkasakan tuntutan Syariat Islam sebagai tuntuta Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan media.