Presiden PEKEMA Sarawak Abang Khalid meninggal dunia

Shafik Ahmad
Februari 4, 2022 08:39 MYT
Pada 25 Nov 2021, Abang Khalid dikejarkan ke Pusat Perubatan Pakar Timberland Kuching selepas mengadu sakit perut sebelum didiagnos menghidap kanser usus tahap tiga.
KUCHING: Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak Tan Sri Abang Khalid Marzuki meninggal dunia pada jam 5.43 pagi ini.
Allahyarham, 74 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur, akibat penyakit kanser usus tahap tiga.
Jenazah akan diuruskan dan dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Muda Hashim di sini sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang hari ini.
Pada 25 Nov lalu, Abang Khalid dikejarkan ke Pusat Perubatan Pakar Timberland Kuching selepas mengadu sakit perut sebelum didiagnos menghidap kanser usus tahap tiga.
Allahyarham kemudiannya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Pantai Bangsar pada 15 Dis.
Bagaimanapun keadaan kesihatannya merosot selepas menjalani pembedahan pada 15 Jan lalu, dipercayai akibat jangkitan kuman.
Abang Khalid semasa hayatnya menggalas beberapa tanggungjawab termasuk Presiden Persatuan Sepaktakraw Sarawak dan Timbalan Ketua Cawangan PBB Semariang.
Selain itu, Allahyarham juga merupakan Presiden Yayasan Pekema Cawangan Sarawak.
Sejak ditubuhkan pada 2010, Abang Khalid mengetuai yayasan itu bergerak aktif dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan di Sarawak menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan dana lebih RM9 juta dari tempoh itu hingga sekarang.
Abang Khalid yang dilahirkan pada 19 Ogos 1947 itu meninggakan seorang balu, Puan Sri Lily Johari, lapan cucu dan tujuh orang anak termasuk penyanyi Camelia, atau nama sebenarnya Dayang Noor Camelia.
#Abang Khalid Marzuki #meninggal dunia #kanser usus #PEKEMA Sarawak
;