Presiden MIASA terima Anugerah Metrodora 2022
Bernama
April 11, 2022 04:52 MYT
April 11, 2022 04:52 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden dan Pengasas Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Anita Abu Bakar menerima anugerah The Patient Champion for Science and Medicine pada Majlis Anugerah Metrodora 2022.
MIASA dalam kenyataan semalam memaklumkan Anugerah Metrodora diberikan kepada Anita sebagai penghargaan di atas usahanya dalam memperjuangkan hak asasi komuniti pesakit mental.
"Saya dengan rendah hati dan berbesar hati menerima Anugerah Metrodora pada tahun ini. Dalam lapangan yang kami perjuangkan, stigma, diskriminasi, ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia adalah sesuatu yang tidak asing lagi, dan inilah dilalui oleh kebanyakan peers kami.
"Saya percaya bahawa pengiktirafan dianugerah oleh International Alliance of Patients' Organizations' (IAPO) ini akan menguatkan lagi suara-suara peers, dan menjadi pemangkin kemajuan hak asasi sebagai individu yang bertarung dengan penyakit mental dan seterusnya mencetus penyelesaian mampan serta menghapuskan stigma tentang penyakit mental," kata Anita dalam kenyataan.
Penaung Perikatan Kesihatan Mental Kebangsaan (NAMH) Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Anita itu berkata ia adalah pengiktirafan mengagumkan.
"Saya telah bekerjasama secara rapat dengan Anita dan saya kagum dengan usaha beliau dalam lapangan diceburi serta sifat tidak penting diri yang ada pada beliau.
"Ia secara drastik ditunjukkan selepas negara dilanda pandemik, kini mereka yang terjejas dari sudut mental telah mempunyai seseorang boleh mereka harapkan," kata Ras Adiba.
Senada dengan Ras Adiba, adalah Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia Dr Hazli Zakaria yang menyifatkan Anita sebagai individu tidak kenal erti putus asa dan pengiktirafan antarabangsa itu adalah suatu menggembirakan bagi komuniti kesihatan mental di Malaysia.
Anita menerima anugerah The Patient Champion for Science and Medicine pada Majlis Anugerah Metrodora 2022 yang dilangsungkan secara maya pada 31 Mac lepas.
Metrodora adalah anugerah antarabangsa berprestij yang memberikan penghormatan dengan memberikan pengiktirafan anugerah kepada wanita-wanita penting dan inovator dalam lapangan sains serta perubatan.
-- BERNAMA