Presiden MASA meninggal dunia
Hasimi Muhamad
Julai 4, 2019 19:41 MYT
Julai 4, 2019 19:41 MYT
Presiden Malaysia Society of Awareness (MASA), Intan Mustika Putri Mokhtar meninggal dunia pada jam 5.20 pagi di Hospital Kajang, hari ini.
Intan Mustika, 41 tahun, menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur akibat kegagalan organ.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi MASA, Edzraq Zakaria, sebentar tadi.
"Hari ini, kami kehilangan seorang insan hebat yang mendedikasikan hidupnya dalam memperjuangkan hak untuk menggunakan ganja sebagai ubat.
"Kami di MASA terkejut dan amat sedih dengan pemergian dia tetapi akan terus bekerja keras untuk memastikan visinya tercapai," kata Edzraq.
Jelasnya, arwah bertarung nyawa lebih 10 tahun selepas disahkan menghidap masalah buah pinggang, hati, kencing manis serta hypokalemia (kekurangan potassium).
Intan Mustika meninggalkan dua anak lelaki berusia 24 dan 21 tahun.
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras pada 11.45 pagi.