Presiden IOC, CMG anugerahkan plak kepada tim media Sukan Olimpik 2024

Bernama
Mei 21, 2024 08:15 MYT
Shen (kanan) dan Bach melancarkan logo penyiaran CMG yang membuat siaran Sukan Olimpik Paris 2024 di Pusat Media Antarabangsa Shanghai. - Foto BERNAMA/China Media Group
SHANGHAI: Naib Ketua Pengarah Jabatan Seranta Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Shen Haixiong bersama dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach menganugerahkan plak dan memberi surat tauliah kepada tim media Kumpulan Media China (CMG) yang bertugas membuat siaran Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris selain mengumumkan logo penyiaran terbabit dan melancarkan program "Morning Sports" kendalian CMG.
Shen yang juga Presiden CMG berkata Presiden China Xi Jinping ketika melawat Perancis baru-baru ini pernah bersama rakan sejawatnya, Emmanuel Macron bertukar cenderamata, iaitu obor untuk kegunaan Sukan Olimpik yang pernah dianjurkan negara masing-masing dan mencapai sebahagian persepakatan tentang Sukan Olimpik 2024 di Paris, khususnya cadangan tentang mewujudkan gencatan senjata dalam senario global semasa berlangsungnya Sukan Olimpik, yang turut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat antarabangsa.
Menurut beliau , ini membuktikan makna praktikal "lebih bersatu padu" yang terkandung dalam semangat Olimpik.
"CMG sebagai agensi penyiar utama bagi Sukan Olimpik 2024 di Paris, berikrar melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang sejajar dengan mandat. Kenderaan penyiar definisi tinggi ultra (UHD) 8K yang telah bertolak dari Beijing pada Ahad dijadualkan diangkut dari pelabuhan Zhoushan bandar Ningbo, dan dijangka tiba di Paris pada hujung Julai.
"Tugasan penyiaran terhadap Sukan Olimpik dengan menggunakan teknologi 8K kali ini merupakan yang pertama di seluruh dunia," kata Shen.
Sementara itu, Bach yang berada dalam jadual lawatannya di Pusat Media Antarabangsa Shanghai milik CMG berkata beliau gembira akan menyaksikan perubahan baharu yang berlaku terhadap penyiaran semasa temasya sukan itu berkat perkembangan teknologi CMG.
Presiden IOC berkata beliau menjangka penonton akan berpeluang menimba pengalaman baharu daripada siaran yang dibuat berdasarkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan audio imersif.
"Saya mengucapkan tahniah kepada CMG kerana mempunyai kemampuan penyiaran yang canggih, dan mengharapkan kerjasama antara kedua-dua pihak bertambah cepat, erat dan padu," kata Bach.
-- BERNAMA
#IOC #anugerah #Sukan Olimpik Paris 2024 #CMG
;