Presiden Filipina tiba untuk lawatan dua hari ke Malaysia
Bernama
November 9, 2016 20:16 MYT
November 9, 2016 20:16 MYT
Malaysia menghamparkan permaidani merah untuk menyambut Presiden Filipina Rodrigo Roa Duterte yang tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan sulung selama dua hari ke negara ini.
Ketibaan Duterte di Lapangan Terbang Antarabangsa KL disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan selepas pesawat khas beliau mendarat pada kira-kira 6.06 petang.
Presiden Filipina itu kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 32 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Duterte dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Filipina.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama.