Presiden Filipina diberi sambutan negara di Istana Negara

Bernama
Julai 26, 2023 13:50 MYT
Yang di-Pertuan Agong (tiga, kanan) dan dan Raja Permaisuri Agong (dua, kanan) berkenan bergambar bersama Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan isteri di pekarangan Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini, sempena lawatan negara sulungnya ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.
Ketibaan beliau bersama isteri Louise Araneta-Marcos, pada pukul 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet.
Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das.
Presiden Filipina itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, di sini.
Marcos bersama Al-Sultan Abdullah kemudian menanam pokok melinjau (Gnetum Gnemon) di halaman istana, dengan disaksikan Louise Araneta-Marcos, Tunku Azizah, Anwar dan Dr Wan Azizah.
Presiden Filipina itu juga diraikan dan diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara yang turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu.
Marcos seterusnya dijadual menyertai Perdana Menteri dalam sidang media bersama di Putrajaya petang ini sebelum menghadiri majlis makan malam bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Lawatan beliau menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan rapat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat dan rakan dalam ASEAN, termasuk menerusi pertukaran lawatan di peringkat tinggi seperti lawatan rasmi Anwar ke Manila pada Mac 2023.
Filipina merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN tahun lepas dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (US$9.42 bilion), peningkatan 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.
-- BERNAMA
#presiden filipina #Yang di-Pertuan Agong #sambutan negara #Anwar Ibrahim
;