Presiden FAM jumpa PM Anwar, kongsi agenda terkini bola sepak negara

Bernama
Mac 3, 2025 15:20 MYT
Mohd Joehari menyerahkan jersi no 10 kepada Perdana Menteri dalam pertemuan bagi berkongsi hala tuju industri bola sepak negara dan persiapan skuad Harimau Malaya untuk Kelayakan Piala Asia 2027. -Facebook
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Ringkasan AI
  • Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berkongsi agenda hala tuju industri bola sepak negara dan persiapan skuad Harimau Malaya untuk Kelayakan Piala Asia 2027.
  • Mohd Joehari menekankan hasrat memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi kepada Perdana Menteri.
  • Pertemuan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, mantan Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, dan beberapa pegawai FAM lain.

FAM dalam kenyataan memaklumkan, pada pertemuan itu Mohd Joehari berkongsi agenda terkini hala tuju industri bola sepak negara selain persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Beliau turut memberi penekanan tentang hasrat memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi kepada Perdana Menteri.
Turut hadir pada pertemuan itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang juga mantan Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Mohd Joehari turut diiringi Timbalannya Datuk S Sivasundaram bersama tiga Naib Presiden FAM Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman serta exco FAM Datuk Zainal Abidin Hassan.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam hantaran Facebooknya mengucapkan selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu FAM yang diterajui Mohd Joehari.
"Semoga dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara," menurut Perdana Menteri.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Presiden FAM #Mohd Joehari Mohd Ayub #hala tuju industri bola sepak negara #Skuad Harimau Malaya
;