Presiden China temui Najib di Putrajaya
Bernama
Oktober 4, 2013 12:00 MYT
Oktober 4, 2013 12:00 MYT
Presiden China Xi Jinping yang dalam rangka lawatan selama tiga hari ke Malaysia bermula semalam, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.
Ketibaan Xi di Bangunan Perdana Putra pada pukul 10.40 pagi disambut oleh Najib, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Khas Malaysia ke China Tan Sri Seri Ong Ka Ting.
Kedua-dua pemimpin itu bersalam mesra dan bergambar di hadapan Bangunan Perdana Putra sebelum mereka menuju ke aras lima untuk pertemuan tertutup yang dijangka membincangkan hubungan dua hala serta perkara membabitkan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Lawatan julung kali Xi ke Malaysia dianggap suatu yang penting yang mencerminkan komitmen kepimpinan baharu China untuk mengangkat hubungan mesra Kuala Lumpur-Beijing ke tahap lebih tinggi sejak hubungan diplomatik dijalinkan 39 tahun lepas.
Lawatan itu juga dianggap sebagai simbol komitmen kedua-dua buah negara untuk memperkukuh kerjasama dalam semua bidang dan menyumbang ke arah kemakmuran serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Dagangan dua hala antara China dan Malaysia mencecah US$94.8 bilion pada 2012 dengan China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia empat tahun berturut-turut dan Malaysia menjadi rakan dagang terbesar China di rantau Asean sejak lima tahun lepas.