Presiden Bangladesh arah pembebasan ketua pembangkang Khaleda Zia

Bernama
Ogos 6, 2024 12:30 MYT
Keputusan untuk membebaskan Khaleda dibuat pada pertemuan presiden dengan ketua tentera, pemimpin politik, tokoh masyarakat dan pemimpin pergerakan protes. - Foto fail/AP
NEW DELHI: Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin mengarahkan pembebasan pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Begum Khaleda Zia beberapa jam selepas Sheikh Hasina meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Keputusan untuk membebaskan Khaleda, 79, yang juga bekas perdana menteri dibuat pada pertemuan presiden dengan ketua tentera, pemimpin politik, tokoh masyarakat dan pemimpin pergerakan protes di kediaman rasminya, Bangabhaban pada Isnin, menurut laporan media tempatan.
Khaleda yang merupakan seteru Hasina dipenjarakan berhubung kes rasuah dengan Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) yang dipimpinnya menyifatkannya sebagai palsu dan bermotif politik.
Beliau kini dalam keadaan kesihatan yang kurang baik.
Shahabuddin berkata parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi dan sebuah kerajaan sementara akan dibentuk.
Hasina melarikan diri ke India selepas protes besar-besaran memaksanya meletak jawatan.
Mereka yang ditahan semasa protes di seluruh negara akan dibebaskan dan keluarga mereka yang terkorban dan cedera akan diberi pampasan, menurut laporan itu.
Lebih 300 orang maut dan ribuan lagi cedera sejak protes meletus pada Julai.
Kerajaan Hasina dilaporkan menahan 10,000 orang semasa tindakan keras yang berlangsung selama beberapa minggu.
Peletakan jawatan Hasina yang disahkan pada petang Isnin oleh Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral Waker-Uz-Zaman dalam ucapan kepada negara kemudian diraikan penduduk Bangladesh.
-- BERNAMA
#khaleda zia #Ketua Pembangkang #Bebas #penjara
;