Presiden Azerbaijan puji ucaptama Dr Mahathir di Sidang NAM
Hasimi Muhamad
Oktober 26, 2019 16:53 MYT
Oktober 26, 2019 16:53 MYT
Presiden Azerbaijan menzahirkan ucapan terima kasih dan memuji ucaptama Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, pada Jumaat.
Menurut Ilham Aliyev, sebagai pemimpin yang berpengaruh di dunia, banyak negara yang mengharapkan sokongan dan pandangan daripada Dr Mahathir.
“Ucaptama anda semalam sangat hebat. Sebagai pengerusi NAM yang baru, kami memerlukan sokongan dan pengalaman peribadi anda.
“Anda di sebalik Malaysia yang hebat dan banyak negara yang mengagumi transformasi dan pengalaman anda.
“Anda sentiasa mempertahankan keadilan,” kata Ilham.
Ilyam berkata demikian pada pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri di Istana Presiden, di sini, sebentar tadi.
Kedua-dua pemimpin meluangkan masa lebih kurang 20 minit bagi membincangkan mengenai hubungan diplomatik Malaysia - Azerbaijan.
Mengulas lanjut, Ilham berkata, Azerbaijan mempunyai banyak perancangan pada masa hadapan untuk mengukuhkan lagi republik itu.
“Kami mahu mengukuhkan lagi hubungan ini (Malaysia-Azerbaijan). Kita mempunyai kerjasama yang baik dalam sektor kuasa dan kami mahu mengukuhkan kerjasama dalam sektor pelancongan dan politik,” katanya.
Pada Oktober 1991, Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaannya dari Kesatuan Soviet.
Baku dan Kuala Lumpur mewujudkan hubungan diplomatik penuh pada April 1993.
#Azerbaijan
#Baku
#Ilham Aliyev
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Perdana Menteri
#Presiden Azerbaijan
#Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali