Premis terbiar di Ipoh: Isu pewarisan, kos baik pulih tinggi antara punca
Aida Aziz
Jun 29, 2024 10:15 MYT
Jun 29, 2024 10:15 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk memulihara bangunan warisan dan bersejarah yang terbiar di bandar raya itu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya sebelum ini memulakan langkah itu di Pekan Lama (Old Town) pada sekitar 2016.
"Sebagai contoh di Old Town tahun 2016, daripada 4,000 bangunan, hampir 1,000 usang.
"Tetapi apabila kita bangunkan kawasan itu dengan pelancongan, termasuk Concubine Lane dan sebagainya, hampir semua bangunan usang itu sudah dibeli dan dibaik pulih oleh pelabur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai usaha MBI dalam memulihara bangunan lama di Ipoh, semalam.
Ia susulan media sebelum ini melaporkan kajian Persatuan Warisan Perak mendapati terdapat 39 bangunan bersejarah di Ipoh dikategori sebagai rosak dan musnah.
Dalam pada itu, Rumaizi menambah, antara punca mengapa ada bangunan lama yang terbiar adalah disebabkan isu pewarisan dan kos baik pulih yang menelan belanja besar.
"Kebanyakannya isu pewarisan. Dan ada orang yang nak jual, tetapi tiada pembeli, sebab tiada potensi. Itu pengalaman yang kita hadapi.
"Kos baik pulih yang tinggi juga main peranan. Jadi, saya alu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan MBI untuk pulihara bangunan berkenaan," katanya.
Rumaizi berkata, bekerjasama merupakan kaedah yang realistik kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos malah pergerakan ekonomi akan turut berlaku.
"Ia juga tidak melibatkan satu pihak sahaja, melalui subsidi sedia ada," tambahnya.