Premis perniagaan tidak ikut SOP akan ditutup - Exco P. Pinang

Bernama
Mei 31, 2020 05:52 MYT
Jagdeep Singh (kiri) bersama Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang (dua, kiri) melakukan pemantauan di sebuah restoran di George Town, 31 Mei, 2020. --fotoBERNAMA
Kerajaan Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis perniagaan yang ingkar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan perniagaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo berkata pihaknya akan mengarahkan penutupan terus premis-premis perniagaan di negeri ini yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mengejut di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Burma yang ditutup 28 Mei lepas dan kembali dibuka semula setelah mengikuti SOP ditetapkan.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menutup tiga premis, membabitkan dua kedai makan iaitu kedai nasi kandar di Jalan Burma dan kedai makan di Lebuh Sungai Pinang 1, serta sebuah pasar mini di Jalan Gurdwara kerana melanggar SOP.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan premis di bahagian pulau, sebanyak 99.6 peratus daripada 155,379 premis didapati mengikut SOP manakala di tanah besar sebanyak 99.2 peratus daripada 219,391 premis mematuhinya.
-- BERNAMA
#Exco #ingkar #Jagdeep Singh Deo #Kedai makan #kerajaan #langgar SOP #operasi #pasar mini #pematuhan #perniagaan #PKPB #Premis perniagaan #pulau pinang #restoran #SOP #tinjauan mengejut #tutup
;