Premis perniagaan perlu patuhi jarak sosial satu meter - Datuk Bandar KL
Bernama
Mac 24, 2020 16:10 MYT
Mac 24, 2020 16:10 MYT
Semua pelesen, pekerja, pengunjung, pembeli dan pembekal yang ingin memasuki pasar raya, kedai runcit, restoran dan pasar dikehendaki mematuhi jarak sosial satu meter sehingga 31 Mac ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pemilk, pekedai, persatuan atau peniaga bertanggungjawab mengawal bilangan pengunjung dalam kawasan itu dalam satu-satu masa agar wujud jarak sosial satu meter.
Dalam arahan pematuhan yang dikeluarkan pada Selasa, beliau berkata semua pelesen, pekerja, pengunjung, pembeli dan pembekal digalakkan memakai penutup mulut dan hidung serta menyedia dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
"Sehubungan itu, notis Arahan Pematuhan Bil 1/2020 bertarikh 22 Mac yang mewajibkan pihak yang terlibat untuk memakai penutup mulut dan hidung adalah dibatalkan.
"Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan diambil terhadap pasar raya, kedai runcit, restoran dan pasar awam atau swasta yang gagal mematuhi arahan ini," katanya.- BERNAMA
#Datuk Bandar Kuala Lumpur
#DBKL
#Kuala Lumpur
#Nor Hisham Ahmad
#penjarakan sosial
#satu meter
#semua pihak