Premis pemborong beras ada bekalan beras putih tempatan
Sinar Harian
Oktober 6, 2023 09:00 MYT
Oktober 6, 2023 09:00 MYT
PUTRAJAYA: Operasi Bersepadu beras putih tempatan (BPT) di premis pemborong beras yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin di sekitar Selangor pada Khamis mendapati semua premis mempunyai bekalan BPT dan beras putih import (BPI).
KPKM menerusi kenyataan pada Jumaat berkata, simpanan beras di premis berkenaan juga tidak melebihi had muatan yang dilesenkan selain lesen masih sah.
"Kesemua sampel yang diambil adalah mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk dianalisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan BPT dan BPI," katanya.
Operasi itu melibatkan kerjasama penguatkuasaan rentas agensi antaranya Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Ia melibatkan 42 anggota penguat kuasa dan PDRM meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.
Dalam pada itu, KPKM menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT.
"Kementerian akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi melalui Operasi Bersepadu BPT," katanya lagi.
Sebelum ini, mesyuarat bersetuju menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 522 bagi menjalankan pemeriksaan serta mewujudkan Pusat Gerakan Bersepadu di kementerian.
Semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522]. - Sinar Harian