Premis melombong bitcoin diserbu, TNB rugi lebih setengah juta selama 2 bulan
Shuhada Abdul Kadir
Februari 11, 2021 17:07 MYT
Februari 11, 2021 17:07 MYT
ALOR GAJAH: Tindakan sindiket 'melombong' bitcoin dengan menjadikan kawasan sunyi bagi menjalankan kegiatan haram itu akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu sebuah premis di Pusat Perniagaan Pulau Sebang di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, kegiatan itu mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian kira-kira RM648,000 sejak dua bulan lalu.
Beliau berkata kegiatan itu terbongkar selepas TNB mengesan sambungan kabel elektrik yang tidak sah sebelum serbuan dilakukan di tingkat dua bangunan pusat perniagaan terbabit.
Katanya, serbuan bersama TNB itu petang semalam kemudian menemui 700 unit mesin bitcoin yang sedang aktif beroperasi.
Katanya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di kawasan berhampiran.
"Kegiatan ini menyebabkan penggunaan penggunaan elektrik mencapai sehingga RM324,000 sebulan sedangkan bil yang didaftarkan hanya membayar lebih kurang RM10 sahaja sebulan.
"Kos sebenar itu berdasarkan ujian yang dibuat pihak TNB selepas pemeriksaan berkenaan menemui peralatan melombong bitcoin.
"Semua peralatan itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan setakat ini belum ada tangkapan lanjut. Kita masih lagi menjalankan siasatan siapa yang berada di belakang sindiket ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrul Lalli berkata, pembongkaran kegiatan sindiket itu adalah terbesar melibatkan negeri selatan Malaysia bagi tahun ini.
Tambahnya, modus operandi kegiatan terbabit antaranya memilih lokasi premis yang terletak jauh dari penempatan awam bagi mengelakkan bunyi bising disedari sekali gus mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan jika sabit kesalahan boleh didenda dan penjara.
#Bitcoin
#melombong
#haram
#Alor Gajah
#TNB
#kerugian
#polis
#Melaka
#Sharul Lalli Masduki
#sindiket