Premis MARA dijadikan stor, tidak dibuka diberi notis dua bulan pengosongan - Asyraf
Bernama
Mei 10, 2024 22:53 MYT
Mei 10, 2024 22:53 MYT
KUALA LUMPUR: Premis-premis Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dijadikan stor atau tidak dioperasikan seperti dalam perjanjian, akan diberi notis dua bulan untuk dikosongkan, kata Pengerusinya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata pendekatan itu merupakan antara langkah drastik menerusi Program Transformasi Premis Komersial MARA yang diumumkan baru-baru ini, bagi memastikan premis berkenaan terus berfungsi membantu usahawan Bumiputera menjana pendapatan.
"Semua Pengurus MARA Daerah seluruh Malaysia telahpun diarahkan pihak pengurusan untuk bertindak. Saya sendiri akan pantau dan dapatkan maklumat mengenai perkembangannya daripada pihak pengurusan melalui Mesyuarat Majlis setiap bulan.
"Program Transformasi ini bukan sekadar untuk merubah wajah premis-premis MARA (seperti Arked, Bazar dan lain-lain) supaya nampak lebih segar dan progresif dengan peredaran zaman, tetapi yang paling penting mampu menjana ekonomi dengan membuka peluang kepada usahawan Bumiputera yang serius untuk memajukan perniagaan masing-masing," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada Selasa, Asyraf dilaporkan berkata sebanyak 7,289 premis komersial milik MARA akan berwajah baharu menerusi program Transformasi Premis MARA, dengan peruntukan sebanyak RM16 juta tahun ini.
-- BERNAMA