Premis makanan kotor? Tunggu kami datang... - DBKL

Astro Awani
Oktober 19, 2023 10:45 MYT
Pegawai penguat kuasa DBKL mengadakan tinjauan ke premis-premis makanan bagi mengenal pasti tahap kebersihan yang diberi perhatian oleh pengusaha. - Gambar Facebook DBKL
KUALA LUMPUR: Kebanyakan pemilik premis makanan masih mengambil sikap sambil lewa mengenai soal kebersihan.
Ini dibuktikan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan dua buah premis makanan ditutup susulan tahap kebersihan tidak memuaskan dalam Operasi Sepadu Bersih melibatkan 41 premis di sekitar ibu kota, pada Rabu.
"Premis terbabit dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi kehendak kesihatan antaranya lantai dan dinding di ruang dapur kotor dan berdaki hitam, meletakkan makanan mentah di atas lantai dan terdapat kesan hurungan atau najis tikus di bahagian dapur.
"Selain itu, sebanyak 57 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976," kata DBKL dalam hantaran di akaun Facebook rasmi majlis perbandaran itu, hari ini.
Menurut DBKL, pada operasi semalam dilaksanakan 52 petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar di 41 premis di Bandar Baru Seri Petaling, Jalan Pasai, Jalan Radin Anum 2, Jalan Dutamas 1 dan L2 Hartamas Shopping Centre.
Operasi turut dijalankan di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, Jalan Ampang dan di Jalan Landak serta Jalan Brunei.
Sepanjang operasi berkenaan, DBKL turut mengenakan pelbagai tindakan penguatkuasaan terhadap premis-premis terbabit kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak kesihatan seperti:
1) Pemilik/pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendali makanan.
2) Tidak memasang perangkap minyak.
3) Perangkap minyak tidak diselenggara. dengan baik menyebabkan tersumbat dan berbau.
4) Lantai dan dinding di ruang dapur kotor dan berdaki hitam.
5) Lesen perniagaan tamat tempoh.
6) Meletakkan makanan mentah di atas lantai.
7) Terdapat kesan hurungan/najis tikus di bahagian dapur.
8) Lorong belakang premis dijadikan tempat penyediaan makanan.
#DBKL #premis makanan kotor #Operasi Sepadu Bersih #tahap kebersihan
;