Premis kediaman tabligh di Labuan jalani proses disinfeksi
Bernama
Mac 13, 2020 16:04 MYT
Mac 13, 2020 16:04 MYT
Dua premis kediaman tabligh di sebuah kawasan perumahan di pulau bebas cukai ini, menjalani proses disinfeksi oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Labuan berikutan terdapat jemaah tabligh dari Brunei dan Tawau, di Sabah yang didapati positif bagi COVID-19.
Dalam satu kenyataan pagi ini, CPRC menjelaskan selain dua kediaman itu, tingkat dua bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan yang menempatkan dua pejabat jabatan persekutuan juga telah dikosongkan bermula pagi Jumaat sebagai langkah pencegahan awal.
Bagaimanapun, pengesahan berhubung sama ada ada jemaah tabligh dari Labuan didapati positif COVID-19 atau tidak hanya akan disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Oleh yang demikian, CPRC Labuan menasihatkan warga Labuan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kerja-kerja disinfeksi ini dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati spekulasi yang dikeluarkan menyebabkan gangguan ketenteraman umum," kata kenyataan itu.
CPRC Labuan juga berkata lebih 40 orang dari Labuan yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas, sebilangan besarnya telah melakukan proses pemeriksaan saringan dan selebihnya sedang dikesan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Labuan. -BERNAMA
#coronavirus
#COVID-19
#CPRC
#koronavirus
#Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis
#PUSAT TRANSFORMASI BANDAR
#Sabah
#tabligh
#UTC