Premis judi: 'Kalau dapat RM400 juta sekalipun, saya akan tutup juga' - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Januari 4, 2023 16:56 MYT
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya akan kekal dengan pendirian untuk menghentikan operasi premis perjudian dan loteri di seluruh negeri itu. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya akan kekal dengan pendirian untuk menghentikan operasi premis perjudian dan loteri di seluruh negeri itu sekalipun jika ia menjana pendapatan jutaan ringgit.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri Kedah langsung tidak terkesan dengan keputusan berkenaan memandangkan sektor berkenaan hanya menyumbang pendapatan kira-kira RM400,000 setahun dari segi cukai, papan pengiklanan dan beberapa perkara lain.
Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak mengalami sebarang kerugian sejak penguatkuasaan keputusan berkenaan selain tidak akan melayani apa-apa desakan atau bantahan bagi mengkaji semula langkah itu.
"Saya tengok pada tahun 2021, keseluruhan pendapatan kepada kerajaan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri, premis perjudian sekitar RM400,000 setahun sahaja. Kalau RM400 juta pun saya mahu stop juga, inikan RM400,000 (sahaja), lagi kena stop.
"Ini kerana kesan dia teruk, nak repair (baiki) masyarakat, ahli keluarga yang berselerak kerana bapa (seorang) tahi judi, balik tabuh (pukul) emak, anak, jual harta, curi duit, kerana gila judi, (ia) lebih teruk dari RM400,000 itu, kerosakan dia, kalau RM400 juta pun saya stop, tidak ada untungnya, masyarakat akan selamat... insya-Allah," kata Sanusi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berharap agar keputusan yang dibuat mendapat keberkatan dan negeri Kedah sentiasa dilimpahkan rezeki daripada pelbagai hasil-hasil yang lain.
"Tidak ada orang yang jadi kaya kerana judi, tidak ada (langsung), (hanya) 'tauke' judi sahaja kaya, tahi judi, tahi tikam nombor, bomoh karang (iaitu) yang karang nombor sampai berkajang-kajang (kertas) itu, tidak ada seorang pun kaya, semua papa kedana," tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Kesah itu turut berharap agar pihak berkuasa dan agensi bertanggungjawab dapat memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah membabitkan pengoperasian premis judi dan loteri secara haram.
Orang ramai juga diminta agar turut serta dalam membantu usaha yang dilakukan kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berwajib.
Berhubung aktiviti perjudian secara atas talian, Muhammad Sanusi menyatakan bahawa pihak atau agensi berkaitan di bawah Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah berkenaan memandang ianya tidak berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
#lesen judi #Menteri Besar Kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #tutup
;