Premis jual produk kambing perap guna logo halal tanpa kelulusan diserbu

Bernama
Februari 16, 2021 19:35 MYT
Premis itu dipercayai menggunakan logo halal tanpa kelulusan JAKIM.
TANAH MERAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis menjual produk kambing perap di Kampung Kelewek, di sini, hari ini, kerana menggunakan logo halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata serbuan pada jam 11 pagi itu itu dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) hasil maklumat orang awam.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis ini menggunakan logo halal JAKIM pada bungkusan daging kambing perap produk keluaran mereka yang tidak diperakui halal oleh badan berwibawa iaitu JAKIM," katanya dalam kenyataan di sini.
Ahmad Azizi berkata produk makanan, plastik pembungkusan dan gegantung yang mempunyai logo halal JAKIM telah disita dan dianggarkan nilai rampasan sebanyak RM1,015.
"Tindakan diambil kerana bertentangan dengan Perenggan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Perenggan 8(b) perintah yang sama.
"Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua, denda RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
-- BERNAMA
#kambing perap #logo #Halal #diserbu #Kelantan #Tanah Merah #KPDNHEP #jaik
;