Premis jual muruku guna logo halal tidak sah di Buntong terbongkar

Aida Aziz
Julai 19, 2024 11:40 MYT
Anggota KPDN ketika membuat serbuan di premis jual makanan ringan di Kampung Kacang Putih, Buntong. - Foto KPDN Perak
IPOH: Sebuah premis makanan ringan yang terkenal dengan jualan muruku di Kampung Kacang Putih, Buntong, di sini diserbu kerana disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan dan jualan di pasaran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN pada Khamis kira-kira jam 12.45 tengah hari.
"Pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk yang dikeluarkan adalah untuk jualan runcit serta borong sekitar utara Semenanjung Malaysia.
"Sehubungan itu, satu tindakan kes diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita 463 bungkusan makanan ringan pelbagai jenis yang menggunakan logo halal tidak sah.
"Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM 2,720," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
Tegasnya lagi, KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Justeru itu, katanya, masyarakat dan pengguna disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung produk makanan yang dicurigai status penandaan logo halal.
#logo halal tidak sah #muruku #makanan ringan #kpdn
;