Premis jual makanan laut siap masak di Teluk Nipah didakwa mahal diserbu

Bernama
Januari 7, 2024 20:35 MYT
Serbuan yang dilaksanakan itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan pihak polis, melibatkan pemantauan sejak semalam dari 6 petang hingga 2 pagi. - KPDN Perak
IPOH: Sebuah premis makanan hasil laut di Teluk Nipah, Pulau Pangkor yang didakwa mengenakan bayaran mahal yang tular baru-baru ini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi pemantauan (Ops Samar) dijalankan selama dua hari sejak semalam, sebagai maklum balas pihaknya terhadap kiriman tular seorang pengguna aplikasi TikTok dan turut dikongsikan kandungan kiriman tersebut oleh pengguna lain di laman Facebook, Jumaat lepas.
Beliau berkata serbuan yang dilaksanakan itu turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan pihak polis, melibatkan pemantauan sejak semalam dari 6 petang hingga 2 pagi.
"Hasil pemeriksaan terhadap premis menjual makanan hasil laut di sekitar Teluk Nipah khususnya premis yang diadu itu, tidak meletakkan tanda harga terhadap makanan hasil laut yang belum dimasak, serta tidak menggunakan alat timbangan dalam urusan penjualan makanan hasil laut itu.
"Premis hanya meletakkan tanda harga ketika pemeriksaan pegawai beruniform dilakukan. Pemeriksaan dan perbandingan harga makanan di premis yang diadu juga didapati lebih tinggi, berbanding harga makanan yang sama di premis lain sekitar Teluk Nipah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Kamalludin berkata satu tindakan kes telah diambil terhadap peniaga terbabit kerana disyaki melanggar Seksyen 140(3)(a)(b) Akta Pelindungan Pengguna 1999, iaitu gagal meletakkan butiran nama dan alamat perniagaan serta tarikh pembelian dalam resit yang dikeluarkan kepada pengguna.
Beliau berkata jika sabit kesalahan bagi kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala bagi perseorangan tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Premis ini juga turut diberikan satu Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) dan Notis Bertulis (NB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011 dan peniaga perlu mengemukakan maklumat barangan kepada pihak KPDN Perak, dalam tempoh lima hari waktu bekerja," katanya.
Kamalludin berkata siasatan lanjut akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 serta sekiranya didapati berlakunya kesalahan mencatut dalam menjual atau membekalkan barangan dan perkhidmatan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011, peniaga boleh dikenakan penalti.
Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum RM500,000 dan denda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya, manakala bukan pertubuhan atau perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau keduaduanya, jika sabit kesalahan.
Kamalludin berkata tindakan tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pelancong, dapat memberi imej yang tidak baik dan memberi kesan kepada industri pelancongan di Perak.
Baru-baru ini tular satu video di laman sosial TikTok yang mendakwa dikenakan caj harga makanan laut siap masak yang mahal dan tidak setimpal dengan kualiti serta perkhidmatan diberikan oleh premis berkenaan di Teluk Nipah.
-- BERNAMA
#makanan laut #Tular #Teluk Nipah #mahal #kpdn
;