Premis jual makanan import dari Korea Selatan dikesan campur produk halal, tak halal
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 30, 2022 17:27 MYT
Mei 30, 2022 17:27 MYT
BUTTERWORTH: Sebuah premis menjual produk makanan import dari Korea Selatan dan Jepun di Raja Uda, di sini, dikesan melakukan kesalahan meletakkan produk sejuk beku tidak halal termasuk daging babi, dan produk halal dalam bekas yang sama di ruang jualan.
Kesalahan itu dikesan semasa serbuan Ops Label yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, hari ini.
Menurut, Pegawai Kesihatan Persekitaran BKMM negeri, Mohd Wazir Khalid, meskipun premis tersebut menjual produk itu kepada masyarakat bukan Islam, tindakan mencampur produk halal dan tidak halal di dalam bekas sama tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan keraguan pengguna.
Berikutan itu, pihaknya memberi nasihat dan meminta pemilik premis membuat pengasingan.
"Kita beri nasihat kepada pemilik kedai supaya membuat pengasingan makanan yang tidak halal dan asingkan makanan halal. Perkara ini kita pandang dari segi sensitiviti terhadap orang Islam.
"Kita tidak mahu benda ini bercampur dan berlaku penjualan sama ada melalui khidmat penghantar makanan dan sebagainya, yang mana pelanggan tidak tahu ada percampuran makanan halal dan tidak halal," katanya selepas operasi itu di sini, hari ini.
Selain kesalahan mencampur produk tersebut, pemilik premis yang baru setahun memulakan perniagaan itu turut dikesan melakukan kesalahan membabitkan pelabelan.
Katanya, dalam satu lagi serbuan, Mohd Wazir berkata, pemilik premis itu juga gagal mematuhi aspek pelabelan makanan sebagaimana yang ditetapkan pihak KKM.
Sehubungan itu, pihaknya menyita semua produk makanan terbabit dan mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM15,000 kepada kedua-dua pemilik premis yang didapati melanggar Peraturan 10 dan 11 Akta Peraturan Makanan 1985.
Katanya, pihaknya mendapati premis itu melakukan kesalahan menjual produk makanan yang tidak mempunyai alamat pengimport serta tidak mengandungi maklumat yang ditulis dalam Bahasa Melayu atau Inggeris seperti ditetapkan.
Dalam pada itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan makanan yang tidak dilabel itu dibawa masuk ke negara ini secara haram atau tidak sah memandangkan ada produk dari negara tersebut dibawa masuk secara pukal.