Premis jual katrij pencetak tiruan diserbu, 493 unit disita

Aida Aziz
September 13, 2024 09:30 MYT
Serbuan dilakukan di sebuah premis perniagaan di Pasir Puteh susulan aduan berhubung penjualan katrij pencetak berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis itu. - Foto KPDN Perak
IPOH: Sebuah premis perniagaan di Pasir Puteh di sini diserbu setelah menjual katrij pencetak jenama terkenal yang disyaki tiruan menerusi platform e-dagang pada Khamis.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, dalam serbuan itu juga, seorang lelaki yang merupakan pengurus syarikat turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, KPDN turut menyita katrij pencetak berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang palsu sebanyak 493 unit dan pelbagai dokumen.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,667.
"Operasi dijalankan oleh pegawai KPDN Perak bersama wakil pemilik cap dagangan kira-kira jam 11.30 pagi.
"Serbuan dilakukan susulan aduan oleh wakil pemilik cap dagangan berhubung penjualan katrij pencetak berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis tersebut.
"Wakil pemilik cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
"Kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya lagi, KPDN memandang serius kes seumpama itu bagi melindungi hak pemilik cap dagang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik sesetengah peniaga, yang cuba mengaut keuntungan mudah melalui penjualan barangan tiruan.
#KPDN Perak #katrij pencetak tiruan #pengurus syarikat ditahan #cap dagang palsu
;