Premis jual 5,969 bateri tiruan bernilai RM24,960 diserbu

Mohd Zalani Md Atan
Mei 5, 2022 15:49 MYT
Dalam serbuan itu sebanyak 5,969 biji bateri tiruan pelbagai saiz kecil untuk kegunaan jam tangan, kamera dan mesin kira telah dirampas. - Foto Astro AWANI
JERANTUT: Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut telah menyerbu sebuah premis yang menjual bateri tiruan yang menggunakan cap dagangan Panasonic secara salah di bandar ini baru-baru ini.
Serbuan pada jam 11.13 pagi pada 27 April itu dilakukan oleh lima orang pegawai penguatkuasa Pejabat KPDNHEP setelah menerima aduan orang ramai.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, serbuan ke atas premis itu turut disertai oleh wakil cap dagang Panasonic dari Osiris Consultancy, Kuala Lumpur bagi tujuan mengesahkan bateri tiruan tersebut.
Katanya, harga bateri tiruan itu dijual antara RM30 hingga RM75 iaitu 50 peratus lebih murah berbanding dengan harga asal bateri tulen yang bercap dagangan keluaran Panasonic yang bernilai antara RM50 hingga RM150.
“Antara bateri tiruan yang dirampas berjenama Panasonic Eneloop Pro AAA sebanyak 896 biji, Panasonic Pro AA (960 biji), Panasonic Eneloop AAA (960 biji), Panasonic Eneloop AA (720 biji) dan bateri jam lithium jenama Panasonic (3,200 biji).
"Premis berkenaan dipercayai menjual atau menawarkan bateri palsu itu kepada orang ramai yang menggunakan cap dagangan Panasonic dipakaikan secara salah dan dijual secara atas talian dan telah melanggar Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya di Pejabat KPDNHEP di sini hari ini.
Katanya, bateri berkenaan yang dijual untuk kegunaan peralatan jam tangan, kamera dan mesin kira secara atas talian atau kepada pelanggan yang dikenali yang kerap berurusan dengan premis tersebut.
"Kes ini dikesan oleh syarikat Panasonic, Osiris Consultancy, Kuala Lumpur setelah menerima aduan pembeli setelah mengenal pasti bateri tersebut tidak tahan lama dan terus menghubungi pejabat ini untuk membuat pengintipan dan pemantauan sebelum serbuan dilakukan.
"Siasatan mendapati premis itu telah menjual bateri tiruan sejak 2020 secara atas talian dan juga kepada pelanggan tetap yang dikenali datang membeli untuk dijual ke tempat lain bagi kegunaan peralatan masing-masing," katanya.
Katanya, dalam serbuan itu sebanyak 5,969 biji bateri tiruan pelbagai saiz kecil untuk kegunaan jam tangan, kamera dan mesin kira telah dirampas dan disita dan dianggarkan bernilai RM24,960.
"Sekiranya disabit kesalahan pemilik premis berkenaan akan dikenakan denda sebanyak RM15,000 bagi kategori syarikat, manakala tidak lebih RM10,000 bagi kategori individu," katanya.
#KPDNHEP #bateri tiruan #Panasonic #Jerantut
;