Premis GISB di Selangor diarah tutup, aset dirampas - Amirudin

Bernama
September 28, 2024 12:35 MYT
Amirudin (foto) akan mengumumkan jumlah keseluruhan premis ditutup termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama berkaitan GISB di negeri itu pada Rabu. -Gambar fail
CYBERJAYA: Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan dengan mengarahkan semua premis Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di negeri itu ditutup serta merampas segala aset syarikat berkenaan.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan penutupan semua premis GISB Holdings Sdn Bhd di negeri itu dan merampas segala aset syarikat berkenaan. Ini termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama yang berkaitan dengan GISB.
  • Kerajaan negeri akan membantu kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB, terutama dalam aspek pendidikan. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menekankan kepentingan pendidikan dan masa depan kanak-kanak tersebut.
  • Pada 11 September, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB. Lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB telah ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau sendiri akan mengumumkan pada Rabu ini jumlah keseluruhan premis termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama berkaitan GISB di negeri itu.
"Rumah-rumah perlindungan yang ada kaitan dengan GISB memang kita arah tutup serta-merta termasuk sekolah agama.
"Itu memang tindakan segera yang sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan polis. Kalau ada lagi maklumat-maklumat kita akan pergi (serbu dan tutup)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Rumah Idaman, Putra Idaman dan majlis pecah tanah Saujana Idaman di sini hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan membantu kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB dalam pelbagai aspek, terutama dalam hal berkaitan pendidikan.
"Saya juga nak tengok pada hari Isnin nanti nasib anak-anak (GISB) yang tidak bersekolah ataupun yang ditahan oleh pihak berkuasa sekarang.
"Isunya (adalah) isu pendidikan dan masa depan mereka yang penting, kerajaan negeri akan cuba bantu nanti sebab itu keutamaan kita," katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu GISB dipercepatkan.
Amirudin sebelum ini dilapor berkata kerajaan negeri akan menguatkuasakan larangan pengoperasian premis kepada GISB selepas memperoleh laporan penuh daripada polis dan Jawatankuasa Agama Islam negeri.
Pada 11 Sept lepas, menerusi Op Global, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #Global Ikhwan Services and Business #GISB Holdings #Sultan Sharafuddin Idris Shah #terkini
;