Premis dikembalikan kepada pemilik, konsep Rumah Prihatin @ Grand Seasons tetap diteruskan
Bernama
Mei 1, 2022 05:20 MYT
Mei 1, 2022 05:20 MYT
KUALA LUMPUR: Konsep aktiviti amal dan sukarelawan Rumah Prihatin @ Grand Seasons akan diteruskan walaupun premis itu akan dikembalikan kepada pemiliknya berikutan Fasa Peralihan ke Endemik, yang membolehkan hotel di seluruh negara beroperasi sepenuhnya seperti sebelum pandemik COVID-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya sedang membuat perancangan mengenai pasca-Rumah Prihatin @ Grand Seasons dalam usaha mengekalkan konsep aktiviti amal dan sukarelawan itu.
"Sewaktu pemilik bangunan (Hotel Grand Seasons) menawarkan kepada saya untuk menjadikan ia pusat kegiatan kesukarelawanan, pada waktu itu perniagaan hotel tidak dapat berfungsi dan kebanyakan perniagaan terjejas selain banyak keperluan mendesak dalam kalangan masyarakat yang perlu diuruskan.
Sekarang ini, senario itu telah berubah apabila hotel beroperasi semula. Adalah wajar kalau pemilik hotel ini ingin memulakan semula operasi hotel sepenuhnya.
"Sekarang ini, bila kita masuk Fasa Peralihan ke Endemik, keperluan (ketika pandemik) seperti yang kita lalui beberapa bulan dahulu tidak ada lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Rumah Prihatin di sini, pada Ahad.
Rumah Prihatin @ Grand Seasons merupakan inisiatif di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan pada 21 Julai tahun lepas ketika Annuar masih lagi Menteri Wilayah Persekutuan.
Ia dijadikan sebagai pusat sehenti pelbagai guna yang berfungsi sebagai dapur, bank makanan, bilik penginapan, pusat gerakan jejak prihatin, khidmat kesihatan mental dan pusat vaksinasi.
Sementara itu, dalam majlis iftar berkenaan seramai 100 sukarelawan Rumah Prihatin @ Grand Seasons diraikan sempena Hari Pekerja, selain bertujuan mengeratkan silaturahim antara sukarelawan dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Turut hadir ke majlis itu beberapa artis tanah air seperti Datuk A Aida, Datuk Fauziah Ahmad Daud dan Datuk Khatijah Ibrahim.
Iftar Rumah Prihatin telah berlangsung sejak 11 April lepas dan menerima lebih 6,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
-- BERNAMA