Premis dapur asrama, kantin SMK Seri Bintang Utara ditutup sementara

Bernama
September 25, 2018 04:35 MYT
Dr Zainuddin berkata nasi lemak berserta sambal dan telur yang disediakan di kompleks asrama dan kantin sekolah itu untuk sarapan pelajar disyaki penyebab utama kejadian itu. - Gambar hiasan
Premis dapur asrama dan kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara ditutup sementara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Zainuddin Abdul Wahab berkata fasiliti berkenaan, yang ditutup sementara berikutan kejadian keracunan makanan pada 21 Sept, akan dibuka semula sebaik sahaja penambahbaikan dilakukan pihak sekolah.
"Sampel klinikal dan makanan yang dimakan pelajar telah diambil Pejabat Kesihatan Cheras (PKC) untuk dihantar ke makmal bagi tujuan analisis, dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Jumaat lepas, 10 pelajar yang mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan 82 pelajar yang lain daripada keseluruhan 424 pelajar mengalami gejala sama namun keadaan terkawal. Keadaan 10 pelajar tersebut kini stabil.
Dr Zainuddin berkata nasi lemak berserta sambal dan telur yang disediakan di kompleks asrama dan kantin sekolah itu untuk sarapan pelajar disyaki penyebab utama kejadian itu.
Beliau menasihatkan orang ramai usah khuatir dengan kejadian itu dan hendaklah mengamalkan langkah lihat, hidu dan rasa sebelum mengambil makanan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan berulang.
-- BERNAMA
#asrama #cirit-birit #kantin #keracunan #Makmal #nasi lemak #Pejabat Kesihatan Cheras #premis dapur #siasatan #SMK Seri Bintang Utara
;