Premier Sarawak enggan dedah kos pengambilalihan MASwings

Bernama
Februari 12, 2025 23:30 MYT
Abang Johari berkata terdapat butiran tertentu mengenai pengambilalihan itu yang tidak dapat dikongsikannya secara terbuka kerana ia bersifat komersial. - Gambar fail/Bernama
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mendedahkan kos pengambilalihan MASwings daripada Malaysia Aviation Group (MAG) demi menghormati perjanjian komersial dan pemain lain dalam industri syarikat penerbangan.
Beliau berkata terdapat butiran tertentu mengenai pengambilalihan itu yang tidak dapat dikongsikannya secara terbuka kerana ia bersifat komersial.
"Tak juga mahal, tak juga murah but I cannot discloselah (tak boleh dedahlah)," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli MASwings, di sini hari ini.
Abang Johari berkata perjanjian pengambialalihan MASwings adalah berbeza daripada ketika beliau mengumumkan Sarawak membayar RM2.5 bilion untuk mengambil alih loji hidroelektrik Bakun daripada Kerajaan Persekutuan pada 2017.
"Bakun kerana kita sahaja ada Bakun, jadi saya boleh dedah (kos pengambilalihan).
"Tetapi bagi MASwings, kita mesti menghormati pemain lain (penerbangan). Ada MAS, ada AirAsia, ada Malindo, ada Batik Air. Kita mesti menghormati perjanjian komersial," katanya.
Sementara itu mengenai pemilihan nama AirBorneo untuk syarikat penerbangan itu selepas pengambilalihan tersebut beliau berkata Sarawak juga mempertimbangkan kepentingan orang di Sabah, yang turut diberi perkhidmatan oleh MASwings semasa operasinya selama 17 tahun.
-- BERNAMA
#Malaysia Aviation Group #Malaysia Airlines #MASWings #perjanjian komersial
;