Premier Sarawak bakal umum bantuan BKSS 9.0 - Dr Sim

Astro Awani
Ogos 15, 2022 13:24 MYT
Menurut Dr Sim, BKSS kali ini melibatkan bantuan tanggungan utiliti elektrik dan air.- BERNAMA
SIBU: Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang terbaharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mengurangkan beban rakyat menghadapi situasi inflasi.
Menurut timbalannya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, BKSS kali ini melibatkan bantuan tanggungan utiliti elektrik dan air.
“Premier kita akan umumkan BKSS baharu berkaitan kos sara hidup untuk utiliti. Premier akan mengumumkan ia dalam masa terdekat kerana BKSS 8.0 telah pun tamat pada Jun lalu.
“Apa yang saya maksudkan adalah bantuan untuk bil elektrik dan air. Jadi saya telah berbincang bersama Premier dan beliau akan buat pengumuman bantuan baharu,” katanya.
Dr Sim berkata demikian semasa lawatan kerja meninjau Projek Bukit Assek dan Pelawan di Sibu pada Ahad.
Sebelum ini kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM5.7 bilion yang disalurkan melalui bantuan bersasar BKSS 1.0 hingga BKSS 8.0 sejak pandemik COVID-19 bermula.
#Bantuan Khas Sarawakku Sayang #BKSS #Abang Johari Tun Openg #Dr Sim Kui Hian #Inflasi
;