Premier Sarawak ajak guru bersama lahirkan modal insan berkualiti tinggi
Bernama
Ogos 18, 2022 21:57 MYT
Ogos 18, 2022 21:57 MYT
LIMBANG: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengajak para guru untuk bersama-sama melahirkan modal insan berkualiti tinggi bagi menggerakkan Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Menurutnya, dengan kepelbagaian sumber yang ada, Sarawak dilihat berpotensi dalam teknologi baharu termasuk pengeluaran hidrogen dan tenaga hijau.
"Tetapi ketika ini sumber itu belum dapat kita tambah nilai dan nilai tambah itu bergantung kepada kualiti anak Sarawak sendiri.
"Biar sama-sama guru dan saya melahirkan pakar-pakar kimia (untuk tujuan) ini," katanya semasa merasmikan sambutan Hari Guru Ke-51 Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.
Katanya, guru juga perlu meningkatkan keupayaan dan kecekapan agar murid-murid dapat menjadi kuasa siber dan kuasa minda bagi mengangkat martabat dan maruah serta menggerakkan Sarawak ke hadapan.
ABANG JOHARI-MODAL INSAN 2 (AKHIR) LIMBANG
"Dengan sumbangan jasa guru yang berkualiti tinggi saya amat berharap kita dapat jadikan anak didik khususnya di Sarawak ini sebagai insan yang cemerlang dan berkualiti serta setanding dengan bangsa lain di seluruh pelosok dunia," katanya.
Abang Johari berkata hasil sumbangan para guru itu dapat dilihat daripada keputusan cemerlang yang diperoleh anak-anak Sarawak dalam peperiksaan SPM dan STPM 2021.
Beliau juga mengingatkan para guru supaya terus mengorak langkah untuk bersedia menerima perubahan dan terus memperkukuh kecekapan masing-masing.
"Apa yang mereka laksanakan di sekolah akan memberi kesan dalam usaha melahirkan generasi yang berupaya bersaing di peringkat negeri, negara dan peringkat dunia," katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Sarawak kepada Datuk Suliaman@Sulaiman Wak dan Tokoh Guru Negeri Sarawak kepada Phang Sin Nan.
-- BERNAMA