Prasarana siasat video tular kakitangan pukul orang awam

Astro Awani
Mac 29, 2022 15:46 MYT
Video berdurasi satu minit dua saat itu memaparkan seorang lelaki memakai seragam Prasarana memukul seorang lelaki pada tarikh, masa dan lokasi yang belum dikenal pasti. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjalankan siasatan serta-merta berhubung video tular membabitkan kakitangannya yang dipercayai memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka seperti tular di media sosial.
Prasarana menerusi satu kenyataan malam ini berkata, video berdurasi satu minit dua saat itu memaparkan seorang lelaki memakai seragam Prasarana memukul seorang lelaki pada tarikh, masa dan lokasi yang belum dikenal pasti.
Katanya, pihaknya memandang serius dakwaan bahawa lelaki itu adalah kakitangan Prasarana berdasarkan seragam yang dipakai.
BACA: Kes pukul di kedai serbaneka: Polis panggil empat individu
"Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.
"Tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana.
"Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa," menurut kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, siasatan dalaman telah dimulakan dan Prasarana menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi talian 03-7885 2585 atau emel ke suggest@rapidkl.com.my.
"Prasarana turut memohon maaf di atas kejadian ini dan menjamin tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang pada masa hadapan," ujar kenyataan itu.
#prasarana #video tular #pukul orang awam #Kedai Serbaneka