Prasarana selaras waktu operasi ikut Perintah Kawalan Pergerakan

Umavathi Ramayah
Mac 23, 2020 17:22 MYT
Prasarana umum perubahan waktu operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. -Gambar fail
Semua perkhidmatan tren dan bas kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) hanya akan beroperasi dari pukul 6 hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula Rabu.
Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali memberitahu, waktu operasi berkenaan turut melibatkan Feri Pulau Pinang yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Syarikat Rapid Ferry Sdn Bhd.
"Ini bermakna, hanya satu feri sahaja yang akan beroperasi setiap satu jam dalam tempoh itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Antara tren dikendalikan Prasarana adalah Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan monorail.
Sementara itu, perkhidmatan bas pula adalah Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting dan Rapid Manjung.
Langkah itu selaras pengumuman Menteri Kanan (Klauster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa semua kenderaan pengangkutan awam hanya dibenarkan untuk beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.
Menteri Pertahanan itu berkata demikian selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, di sini pada Isnin,
Mengulas lanjut, Azhar berkata, pada waktu puncak iaitu pukul 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 petang, kekerapan perkhidmatan tren serta bas Prasarana akan ditingkatan kepada setiap 10 minit, berbanding 30 minit di luar tempoh itu.
Sehubungan itu, beliau menasihati mereka yang bekerja dalam bidang yang diklasifikasi sebagai penting dan dikecualikan daripada PKP supaya merancang jadual perjalanan.
"Orang ramai boleh melayari laman web myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk bagi melihat jadual operasi manakala penumpang Rapid Penang boleh memuat naik aplikasi di Rapid Penang Journey Planner," jelasnya.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Facebook Rapid KL Facebook @myrapid, sementara Twitter dan Instagram di @myrapidkl dari semasa ke semasa.
#Facebook #feri #ismail sabri yaakob #Kuantan #LRT #manjung #menteri #MRT #Putrajaya #Twitter
;