Prasarana sedia bangun sistem pengangkutan Iskandar

Astro Awani
Januari 7, 2013 10:21 MYT
Syarikat Prasarana Negara (Prasarana) bersedia sekiranya Wilayah Pembangunan Iskandar memerlukan pembangunan pengangkutan awam berbentuk rel.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar, Iskandar Malaysia dilihat memerlukan sebuah sistem pengangkutan awam yang sistematik bagi memenuhi keperluan wilayah tersebut di masa hadapan.
Shahril berkata setakat ini fokus operasi Prasarana adalah di Lembah Klang.
Beliau namun tidak menolak kemungkinan akan wujud peluang untuk Prasarana meluaskan operasinya di wilayah berkenaan.
Mengenai perkembangan lain Shahril memberitahu Prasarana telah dilantik menjadi perunding khidmat nasihat kepada Nigeria bagi pembangunan sistem rel nya.
Shahril berkata melalui permintaan khidmat nasihat dari negara luar membuktikan kepakaran syarikat itu kini diiktiraf negara asing.
Selain Nigeria, Prasarana turut bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Eropah untuk khidmat nasihat rel di Arab Saudi.
Prasarana juga katanya sedang berbincang dengan beberapa pihak lain untuk pembangunan rel di beberapa buah negara.
#Datuk Shahril Mokhtar #Iskandar Malaysia #Pengarah Urusan Kumpulan #prasarana
;