Prasarana sangkal WapCar, sasar 1.1 juta pengguna harian menjelang akhir 2020
Bernama
Ogos 11, 2020 17:46 MYT
Ogos 11, 2020 17:46 MYT
Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), penyedia perkhidmatan rel bandar serta bas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang, menyasarkan untuk mengembalikan jumlah purata pengguna hariannya sebelum penularan COVID-19 sebanyak 1.1 juta menjelang akhir tahun ini.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata walaupun pandemik itu telah menjejaskan jumlah penggunanya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020, aliran semasa sebaliknya menunjukkan peningkatan ketara yang mencecah 60 peratus setakat ini berbanding 16 peratus pada Mac lepas.
"Ini menunjukkan jumlah pengguna bagi kedua-dua perkhidmatan rel dan bas Prasarana semakin meningkat susulan pembukaan semula ekonomi tempatan selain ramai yang sudah kembali bekerja," kata syarikat itu.
Dalam pada itu, Prasarana menyangkal hasil kaji selidik hab kandungan automotif WapCar mengenai penggunaan pengangkutan awam baru-baru ini, yang disifatkan sebagai berat sebelah dan hasil dapatan yang mengelirukan.
"Kaji selidik selama seminggu menerusi laman Facebook WapCar pada Julai lepas, cuma membabitkan saiz sampel 318 responden dengan hanya bertanyakan satu soalan mengenai pengangkutan awam.
"Hanya dengan mengambil kira tanggapan serta membuat kesimpulan bahawa 'lebih 90 peratus rakyat Malaysia bimbang untuk menggunakan pengangkutan awam' adalah keterlaluan serta mengelirukan.
"Kesemua 318 responden ini tidak mewakili pendapat berjuta-juta pengguna pengangkutan awam lain mahu pun pandangan seramai 31 juta rakyat Malaysia," kata Prasarana.
Hasil kaji selidik WapCar yang diumumkan semalam mendapati 90 peratus rakyat Malaysia khuatir untuk menggunakan pengangkutan awam atas alasan ancaman COVID-19 dan sebaliknya memilih untuk memandu sendiri sebagai langkah keselematan.
Ia juga mendapati sebanyak 57.9 peratus responden enggan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berbanding 32.7 peratus yang sedia menggunakannya walaupun bimbangkan mengenai aspek keselamatan kesihatan.
-- BERNAMA
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Pahang
#penumpang
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#prasarana
#purata
#rel