Prasarana sahkan tamatkan perkhidmatan Muhammad Nizam sebagai CEO

Bernama
Mac 13, 2021 08:26 MYT
Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan bahawa Muhammad Nizam (gambar) tidak mengetahui mengenai pemecatannya sebagai CEO Prasarana dan belum menerima notis rasmi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd mengesahkan telah menamatkan perkhidmatan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Muhammad Nizam Alias pada 22 Februari.
Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, syarikat itu berkata Datin Norlia Noah telah dilantik sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa 23 Februari.
"Prasarana mengesahkan bahawa Lembaga Pengarah Prasarana Malaysia Bhd telah mengadakan mesyuarat pada 22 Feb, 2021 dan membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Muhammad Nizam Alias.
"Prasarana tidak akan lagi mengeluarkan komen atau kenyataan mengenai perkara itu," menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan bahawa Muhammad Nizam tidak mengetahui mengenai pemecatannya sebagai CEO Prasarana dan belum menerima notis rasmi daripada Lembaga Pengarah syarikat mengenai perkara itu.
Pada Selasa, Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan pelantikan Norlia, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) untuk mengambil alih daripada Muhammad Nizam.
-- BERNAMA
#Prasarana Malaysia Bhd #prasarana #Presiden Prasarana #CEO Prasarana #ditamatkan perkhidmatan #Muhammad Nizam Alias #Datin Norlia Noah #pemangku presiden #Tajuddin Abdul Rahman #Pengerusi Prasarana