Prasarana peruntuk RM250 juta naik taraf pencawang elektrik LRT Laluan Kelana Jaya

Bernama
September 15, 2016 22:32 MYT
Menurut Azmi kerja menaik taraf ini akan siap sepenuhnya hujung tahun ini. - Foto fail
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperuntukkan RM250 juta bagi menaik taraf pencawang tenaga elektrik laluan LRT Kelana Jaya serta beberapa kerja sampingan bagi mengatasi masalah gangguan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz berkata kerja menaik taraf pencawang tenaga elektrik perlu disegerakan berikutan hasil penilaian mendapati beberapa komponen penting seperti bekalan tenaga elektrik bagi menggerakkan tren di laluan Kelana Jaya memerlukan penambahbaikan.
"Hasil siasatan awal mendapati punca insiden tempoh hari tidak ada kaitan dengan tren. Kami mendapati tren berhadapan masalah kekurangan bekalan tenaga elektrik yang tidak mampu menanggung jumlah tren pada waktu puncak.
"Kerja naik taraf ini akan siap sepenuhnya hujung tahun ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Prasarana, di sini hari ini.
Sidang media itu diadakan bagi mengumumkan langkah Prasarana bagi mengatasi masalah gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada 7 dan 9 Sept lepas.
Azmi berkata kos tersebut tidak melibatkan kos naik taraf kabel elektrik di laluan berkenaan memandangkan pihak syarikat masih mengenal pasti jumlah kabel elektrik yang perlu diganti.
"Sekarang kami sedang kenal pasti kabel elektrik yang perlu diganti sebelum tiba tarikh penggantian. Jumlah kabel elektrik ini banyak. Maka kami akan pastikan tidak ada yang terlepas pandang," katanya.
Mengenai pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi mengelak insiden sama berulang, Azmi berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada pengeluar kabel elektrik bagi mengenal pasti punca kegagalan membekalkan tenaga elektrik secukupnya.
"Kabel ini uzur sebelum tempohnya iaitu 20 tahun. Ia telah digunakan selama 18 tahun namun ia uzur sebelum tempoh tersebut.
"Maka pihak kami ambil langkah segera untuk gantikan kabel elektrik. Maklum balas dan tindakan segera ini perlu bagi kami untuk mengetahui jumlah kos yang perlu," katanya.
Ditanya mengenai pertemuan kedua beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, Azmi berkata perdana menteri mahu pihak syarikat mencari jalan agar gangguan seumpama itu tidak berulang.
Katanya, perdana menteri menyatakan bahawa perkhidmatan pengangkutan awam perlu dititikberatkan agar tidak menyusahkan pengguna, malah menyokong tindakan naik taraf secara segera yang diambil Prasarana.
Pada 7 Sept lepas, ribuan pengguna terkandas di beberapa stesen laluan LRT Kelana Jaya sejak 7 pagi akibat masalah berkaitan sistem isyarat dan komunikasi yang menyebabkan kelewatan perjalanan tren di antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi, dan perkhidmatan pulih kira-kira 1.15 tengah hari.
Pada 9 Sept, perkhidmatan LRT bagi laluan Setiawangsa-KLCC terganggu semasa waktu puncak pada 9 pagi apabila sebuah tren dari Datuk Keramat menuju ke Jelatek tiba-tiba terhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit.
Penumpang tren berkenaan kemudian terpaksa berjalan di atas trek menuju ke Stesen Damai dengan mengambil masa hampir 10 minit, dan perkhidmatan pulih pada kira-kira 11.45 pagi.-- BERNAMA
#Azmi Abdul Aziz #gangguan LRT #LRT #prasarana
;