Prasarana pandang serius dakwaan rasuah projek MRT, LRT

Bernama
Mei 30, 2022 05:52 MYT
Prasarana berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan apa jua bentuk gejala rasuah dalam semua urusannya.
KUALA LUMPUR: Syarikat pengoperasi pengangkutan awam Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memandang serius laporan media yang memetik sumber mendakwa terdapat elemen pemberian rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam.
Prasarana dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan projek terlibat membabitkan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).
"Prasarana tidak berkompromi dengan apa jua bentuk gejala rasuah dalam semua urusannya.
"Pihak kami akan mengikuti rapat perkembangan kes dan berhubungan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan gambaran yang tepat sebelum mengambil langkah susulan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Prasarana turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan.
-- BERNAMA
#prasarana #Rasuah #SPRM #pengangkutan awam