Prasarana mulakan operasi tahun kedua MMMSL libatkan 17,000 petugas

Bernama
September 9, 2016 07:25 MYT
Sejumlah 8,500 staf dan pegawai Pasukan Keselamatan Kemudahan Arab Saudi dikerah membantu MMMSL mengendalikan operasi musim haji tahun ini. - Gambar fail
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada Jumaat memulakan operasinya bagi tahun kedua perkhidmatan Al Mashaaeer Al Mugaddassah Metro Line (MMMSL) berprofil tinggi dengan menggunakan khidmat pasukan 17,000 anggota.
Dalam kenyataannya, Prasarana berkata sejumlah 8,500 staf dan pegawai Pasukan Keselamatan Kemudahan (FSF) Arab Saudi dikerah membantu MMMSL mengendalikan operasi musim haji tahun ini yang berlangsung tujuh hari sehingga 15 Sept.
"Tenaga kerja penuh bagi operasi tahun ini berjumlah lebih 17,000 orang. Mereka terdiri daripada staf Prasarana, ERL, bekas petugas KTM, staf tempatan dan staf FSF.
"Operasi ini amat mencabar, penuh dengan ujian dan sangat tinggi tuntutannya. Saya dengan setulus hati berharap seluruh rakyat Malaysia akan bersama-sama berdoa agar kami dapat memberi perkhidmatan sebaik mungkin untuk para jemaah," kata Ketua Pegawai Operasi MMMSL Masnizam Hisham, yang
dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.
Dengan operasi itu, yang dianggap sebagai perkhidmatan tren paling mencabar di dunia, bermula secara rasmi pada Jumaat, pergerakan staf pula dimulakan dari depot pada 3 petang semalam (8 Sept) untuk menghantar semua staf stesen ke stesen kerja masing-masing dengan menggunakan tren.
Tren pertama daripada tujuh tren 12 gerabak, yang beroperasi pada hari pertama di bawah Pergerakan 1 dan akan berhenti di kesemua sembilan stesen, telah dilepaskan Pusat Kawalan Operasi (OCC) yang menjadi pusat nadi operasi MMMSL dan terletak di depot di Arafah.
Pergerakan tren dikategorikan dalam lima struktur berbeza bagi memudahkan pergerakan jemaah semasa menunaikan haji.
Ketika kumpulan pertama staf stesen memulakan tugas untuk syif pertama mereka pada 11 malam tadi, staf lain pula membuat persiapan diri di dalam khemah khas penuh selesa termasuk lengkap dengan alat penyaman udara yang didirikan secara strategik di lima stesen - Arafah 3, Muzdalifah 3, Mina 1, Mina
2 dan Mina 3 - untuk menjalankan tugas penuh mencabar masing-masing kelak.
Sementara itu, Pengarah Urusan MMMSL Ahmad Jamaluddin Salleh berkata pasukan bagi operasi tahun ini jauh lebih bersedia berbanding tahun sebelumnya dan masa tambahan yang diberi membolehkan Prasarana membuat rancangan komprehensif untuk menyenggara tren dan sistem sebelum memulakan operasinya.
"Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa MRDA sangat gembira dengan persiapan kami tahun ini. Mereka mengakui kami lebih jauh bersedia berbanding tahun lepas. Persiapan kami bermula sebaik sahaja selesai operasi tahun lepas dan kami telah pun selesai membuat semua persiapan yang amat
cemerlang itu," katanya.
Prasarana, pengendali infrastruktur rel di Lembah Klang, diamanahkan tugas mengendalikan perkhidmatan rel di Makkah melalui anak syarikatnya, Prasarana Integrated Management and Engineering Sdn Bhd.
Prasarana diberi kontrak untuk mengendali dan menyenggara MMMSL pada Mei tahun lepas setelah mengambil alih daripada China Railway Construction Consortium (CRCC), yang mengendalikan laluan itu sejak perkhidmatan berkenaan dimulakan pada 2010.
#Al Mashaaeer Al Mugaddassah Metro Line #prasarana #Prasarana Malaysia Berhad
;