Prasarana minta 83 penumpang tampil untuk urusan sumbangan ihsan

Ridauddin Daud
Mei 29, 2021 13:04 MYT
Prasarana minta 83 penumpang yang masih belum dikenal pasti untuk tampil berkongsikan maklumat mereka untuk proses sumbangan wang ihsan kepada mangsa. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) setakat ini hanya dapat mengenal pasti 130 penumpang yang terlibat dalam insiden pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, 111 daripadanya mempunyai butiran lengkap sementara maklumat mangsa lain sangat diperlukan untuk urusan pemberian sumbangan ihsan seperti diumumkan sebelum ini.
Justeru, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Norlia Noah meminta 83 penumpang yang masih tidak dapat dikenal pasti untuk tampil segera berkongsikan maklumat mereka.
“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden berkenaan.
“Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran tentang penumpang dapat dilengkapi.
“Saluran khas di talian 014 737 1330 dan e-mel: recovery2021@prasarana.com.my telah dilancarkan khusus untuk komunikasi secara langsung dengan para penumpang yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, terdapat juga 12 warga asing dari Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh dan Timur Tengah terlibat dalam insiden itu dan pihaknya sudah menghubungi kedutaan negara-negara berkenaan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini.
“Kami amat dukacita dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod baik LRT Laluan Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun.
“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Kami akan terus berkongsi maklumat terkini tentang semua perkembangan insiden ini,” ujar beliau.
Ia termasuklah maklumat mengenai mereka yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, status pengesanan penumpang serta proses pemulihan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.
Katanya lagi, daripada 67 orang yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, 62 penumpang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan.
Manakala, lima penumpang masih berada di hospital sementara tiga individu ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam tempoh dua ke tujuh hari.
#LRT #tren #Kelana Jaya #prasarana #ihsan #sumbangan #rawatan #HKL #tren bertembung #KLCC #Kampong Bharu #landasan #operasi #laluan Kelana Jaya
;