Prasarana kesal insiden maut

Bernama
Mac 30, 2013 09:21 MYT
Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) telah menghentikan kerja-kerja bagi penyambungan landasan LRT di KM15 off Jalan Lapangan Terbang, Subang di sini berikutan kematian seorang pemandu kereta di sini malam tadi.
Pengarah Kumpulan Prasarana bagi Pembangunan Projek Zulkifli Mohd Yusoff berkata syarikat itu kesal insiden membabitkan seorang pemandu maut dan penumpang kereta cedera apabila peralatan pembinaan di bahagian itu tiba-tiba menimpa kenderaan mereka pada kira-kira 7.30 malam.
"Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital. Kami kesal kemalangan yang terjadi dan menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa yang meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Projek itu bertujuan untuk meningkatkan lagi pengangkutan awam bandar di Lembah Klang.
#prasarana
;