Prasarana, KBS rekrut 'Kapten Bas'
Israr Khalid
Mei 16, 2016 07:26 MYT
Mei 16, 2016 07:26 MYT
Pemandu bas kini bukan lagi satu pekerjaan picisan, tetapi menjanjikan masa depan yang cerah dengan pendapatan yang baik.
Itulah yang ingin dipromosikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha merekrut lebih ramai pemandu bas menerusi program 'Bootcamp Kapten Bas'.
Ia merupakan program yang disasarkan untuk golongan belia yang menyediakan latihan secara intensif dengan kemahiran dan pengetahuan khusus bukan setakat memandu bas dengan baik, tetapi mengendali keseluruhan sistem bas.
"Sebab itu kita ubah panggilannya, daripada pemandu bas kepada Kapten Bas kerana mereka perlu cekap memandu juga perlu celik IT bagi mengendali sistem operasi bas yang semakin sofistikated," kata Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam pada Isnin.
Di bawah kolaborasi tiga tahun itu, kedua-dua pihak mensasarkan penyertaan 100 orang pelatih untuk tahun 2016 melalui pengambilan dua sesi, dengan sesi pertama akan bermula 23 Mei ini untuk sekitar 30 hingga 50 orang pelatih.
Bootcamp Kapten Bas dilaksana dalam tempoh tiga bulan beserta elaun bulanan RM900, dan para lepasan akan terus diserap sebagai kakitangan Rapid Bus dengan pendapatan tetap bermula RM1750 hingga RM2,300 setiap bulan.
Penyertaan terbuka kepada semua belia dan sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai syarat kelayakan minimum.
Tahun ini Prasarana memerlukan sekitar 800 hingga 1,000 Kapten Rapid Bus untuk menghasilkan perkhidmatan optimum selaras visi syarikat iaitu memberi perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang hadir menyempurnakan majlis menandatangani MoU di Rapid Bus Academy, Kompleks Depoh Cheras Selatan hari ini berkata, pengangkutan awam yang cekap begitu penting kerana ia merupakan antara faktor utama mengukur tahap kemajuan sesebuah negara.
"Keunggulan sistem pengangkutan awam bukan sahaja terletak pada kecanggihan infrastruktur fizikalnya (aset pengangkutan), tetapi pengurusan yang baik.
"Penanda aras kita untuk melihat sistem pengangkutan awam bertaraf antarabangsa adalah apabila ia dijadikan pilihan pertama bagi medium pengangkutan seharian," katanya.
Selain itu turut persetujui dalam MoU itu adalah untuk memperluas hubungan kerjasama dengan memberikan peluang penempatan latihan industri seterusnya peluang pekerjaan kepada lepasan institut kemahiran belia di bawah KBS yang terlibat dalam bidang berkaitan seperti automotif, teknologi mekanikal dan sebagainya.
Menurut Khairy, ia sebagai satu usaha merapatkan institut kemahiran awam dengan industri.
Ia supaya penuntut yang dihasilkan memiliki kualiti yang menepati kehendak industri, secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran golongan belia di negara ini.
"Ini juga usaha untuk kita memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai satu laluan kerjaya yang sama pentingnya dengan bidang akademik.
"Kualiti pengambilan kerja juga amat penting supaya dapat kurangkan penglibatan rakyat kita dalam sektor yang tidak menawarkan gaji yang memberangsangkan selain laluan kerjaya yang cerah untuk masa depan mereka," katanya.
Katanya lagi, ini merupakan MoU ke-24 sejak transformasi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) tahun lepas dalam usaha meningkatkan keboleh pasaran penuntut IKBN serta pemerkasaan golongan belia secara amnya.