Pramugara, teman wanita mengaku tidak bersalah pecah masuk kedai dobi

Astro Awani
Jun 18, 2019 16:39 MYT
Rakaman dari CCTV menunjukkan aksi tertuduh di dalam salah sebuah kedai dobi. - Gambar fail
Seorang pramugara bersama teman wanitanya mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memecah masuk dan cuba mencuri kedai dobi di Kuala Nerus.
Tertuduh Remy Izwan Roseli, 39 tahun, dan Aimi Shairah Ismail, 32 tahun, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abd Hayyi Salim.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama-sama telah cuba mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman dan menyimpan harta milik Mohd Juman Che Azmi.
Perbuatan itu dilakukan pada 7 Jun lalu di dalam kedai dobi Trudoobii Loundromat di Blok D Rimba Square antara jam 4 hingga 4.53 pagi.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun yang sama.
Manakala bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa telah melakukan kesalahan pecah masuk sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia dan menyimpan harta.
Tertuduh didakwa telah mencuri wang lebih kurang RM1,000 dalam bentuk kepingan token serta sebuah modem internet milik seorang wanita yang berusia 47 tahun.
Perbuatan itu dilakukan pada 7 Jun antara jam 5.48 hingga 7.20 pagi di dalam kedai dobi Laundry Cottage, Kuala Nerus.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes.
#curi dalam dobi #curi token #kes mahkamah #pecah masuk dobi #pramugara
;