Prabowo demam, mohon pertemuan dengan Anwar ditangguh
Firdaus Azil
Disember 23, 2024 12:15 MYT
Disember 23, 2024 12:15 MYT
LANGKAWI: Pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang dijadualkan berlangsung di Langkawi hari ini, terpaksa ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan.
Anwar menerusi perkongsian di laman media sosialnya berkata, Prabowo memohon untuk menangguhkan pertemuan tersebut kerana mengalami demam.
“Saya dan keluarga sudah di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan sahabat, Presiden Prabowo Subianto hari ini.
“Namun, malam tadi beliau mohon menangguhkan pertemuan untuk beberapa hari kerana demam. Mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan sesegera mungkin sekaligus menyambung rencana pertemuan dua negara,” kata Perdana Menteri lagi.
Anwar berkata, pada 26 Disember depan, beliau dijadual untuk menemui mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra untuk agenda ASEAN demi kesejahteraan serantau.