Prabowo adakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia

Farhan Hakimi
Januari 9, 2025 10:00 MYT
Lawatan ini turut mencerminkan hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia. - Foto fail/REUTERS
PUTRAJAYA: Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, dijadualkan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia hari ini.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, lawatan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Oktober 2024.
Lawatan ini turut mencerminkan hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia, yang disokong oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan, dan keselamatan.
Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membincangkan kerjasama dua hala serta meneroka peluang baharu untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
Anwar turut akan meraikan Presiden Indonesia dalam satu jamuan makan tengah hari tertutup.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia dan Indonesia dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau, dan pendekatan bersama dalam menangani cabaran global.
Dalam aspek ekonomi, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara kekal signifikan.
Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah meningkat kepada RM95.50 bilion (USD20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Lawatan ini juga diharap dapat memperkukuh lagi hubungan strategik antara kedua-dua negara, selaras dengan kepentingan bersama dalam rantau dan di peringkat global. //ends
#Prabowo Subianto #lawatan rasmi #Anwar Ibrahim #Wisma Putra
;