Prabakaran sumbang van jenazah RM150,000

Sinar Harian
Disember 26, 2022 08:10 MYT
Prabakaran (kanan) menyerahkan van jenazah bernilai RM150,000 kepada pengurusan Madrasah Raudatul Muttaqin pada Ahad. -Facebook
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menyumbang van jenazah bernilai RM150,000 untuk kegunaan Madrasah Raudatul Muttaqin, Taman Datuk Senu Sentul.
Prabakaran berkata, lebih setahun pengurusan surau Jumaat itu mencari ikhtiar bagi pembelian van jenazah berkenaan sebelum bertemu beliau sekitar Jun lalu.
Menurutnya, tempoh tiga bulan diambil bagi meluluskan permohonan tersebut menggunakan peruntukan Pusat Khidmat Parlimen Batu.
"Masa diambil untuk membuat tempahan serta ubah suai kenderaan sebelum diserahkan kepada pihak madrasah.
"Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban pihak madrasah dan tidak dibebani masalah kewangan," katanya pada Ahad.
Prabakaran pada Ahad berkongsi penyerahan van jenazah berkenaan menerusi kemas kini di Facebook beliau.
Tambah beliau, pihaknya akan memastikan semua rumah ibadat di Parlimen Batu dapat bantuan yang sepatutnya.
Prabakaran meneruskan mandat rakyat di Parlimen Batu bagi penggal kedua selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan majoriti 22,241 menewaskan sembilan pencabarnya.
Selain Prabakaran, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut melakukan inisiatif sama apabila melengkapkan dana pembelian sebuah van jenazah di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara 12 Disember lalu. -Sinar Harian
#van jenazah #P Prabakaran #Madrasah Raudatul Muttaqin #Taman Datuk Senu Sentul
;